Tuesday, September 7, 2010

Sajak : Penggesek biola.... " Bahagian 2

" Penggesek biola…." Bahagian 2

Penggesek biola….
Di pasar minggu, saban waktu
Di kaki lima, asyik dan leka
Menggesek biola,
Tak menghiraukan pengunjung
Pasar minggu, lalu-lalang
Mengalunkan lagu dan irama!

Penggesek biola….
Rambutnya memutih,
Menemani usia yang lanjut,
Kudrat tak seberapa, fizikal tak sihat
Kakinya sakit, jalan bertongkat
Di pasar minggu, mencari rezeki
Menyara anak dan isteri!

Penggesek biola….
Mengharapkan ikhsan, simpati
Pengunjung pasar minggu,
Menghulurkan wang, sebagai bakti
Digesekkan lagu, pelbagai irama
Bisikan kalbu, suara hati
Insan yang punya apa-apa!

Penggesek biola….
Banyak mata yang melihat,
Tersentuh jiwa dan kalbu,
Insaf dan bersimpati,
Tak lokek menghulurkan bantuan,
Biarpun saban minggu, ia disitu
Terpesona, merdunya gesekan biola!

Penggesek biola….
Aku, seorang pengembara
Masih berdiri di sini sejak tadi,
Ada rasa rindu, gelora di jiwa
Inikah nasib seorang insan seni,
Terbiar tak diambil peduli,
Di sebuah negara yang merdeka!


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 7 September 2010.
Puisi No.192
Hak Cipta Terpelihara.

No comments: