Thursday, October 21, 2010

Sajak: " Gadis dan bunga.... " Bahagian 2

Gadis dan bunga….
Tiba-tiba ada rasa rindu,
Sekian lama, tak bersua, tak bertemu
Wajahmu, bermain di mata
Ada keriangan di hati,
Bagaimana, ia kini
Masih peramahkah,
Bersama bunga-bunga !

Gadis dan bunga….
Jarang sekali, berjumpa kini
Jarak, masa dan tugas memisahkan
Ia, bila mungkin kita bersua
Aku, ke Tanah Tinggi
Mencari bunga-bunga,
Untuk kekasih, teman, isteri
Kembang mekar, harum mewangi !

Gadis dan bunga….
Punya cita rasa, indah, mulia
Tulus, ikhlas seorang sahabat
Pilihkan aku, kuntum-kuntum bunga
Untuk seorang kekasih,
Di hari lahirnya,
Ingin melihat ia, riang-ria
Terasa, bahagia !

Gadis dan bunga….
Pilihkan aku, anggerik merah
Berikan aku, anggerik putih
Pilihkan aku, mawar yang indah
Harumannya menyegarkan kamar,
Gubahkan, serikan
Inginku nyatakan, bisikkan
Untukmu, kekasih !

Gadis dan bunga….
Terima kasih,
Kita masih lagi bersahabat,
Saling hormat, mempercayai, mengunjungi
Mungkin tak seperti dulu, selalu ;
Semoga, ceria, hidupmu berkat
Kental jiwa, sabar dan gigih,
Tabah dan berani !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 21 Oktober 2010.
Puisi No. 223
Hak Cipta Terpelihara.

Wednesday, October 20, 2010

Sajak: " Di sebalik jendela.... "

Di sebalik jendela….
Aku masih lagi menanti, menunggu
Kembalinya, seorang wanita
Telah surutkah, rajuk semusim lalu
Hadir dengan senyuman,
Bibirnya bak delima merekah,
Tiada gundah !

Di sebalik jendela….
Ku kesatkan air mata,
Mengalir membasahi pipi,
Mengenang rajuk yang sekian lama, 
Pilu yang membumkam sedih di hati,
Bagaikan ombak laut di pantai,
Jiwaku diamuk badai!

Di sebalik jendela….
Melihat ruang kamarku yang sepi,
Bingkai potretmu di dinding,
Diri, seperti terpisah dan terasing
Kita, tidak lagi mengenali diri
Kerana rajuk yang berpanjangan,
Nafsu, nafsi, menggoda jiwa !

Di sebalik jendela….
Mataku, masih mencari wajahmu
Seorang teman, isteri dan kekasih
Pulanglah, kembali ke pangkuan
Janganlah ada rasa sangsi dan curiga,
Lupakan kisah silam, semusim lalu
Bina semula istana cinta !

Di sebalik jendela….
Harapanku, menggunung tinggi
Setinggi Kinabalu, sekukuh Titiwangsa
Serikanlah kamar ini kembali,
Seharum mawar, semerbak kasturi
Jalanku, ada sinar dan cahaya
Melodi indah, dendangkan semula !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
Esdije @ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 21 Oktober 2010.
Puisi No. 222
Hak Cipta Terpelihara.

Sajak: " Masihkah.... "

Masihkah….
Terbakar rimba marahmu,
Tak terpadam sehingga kini,
Baranya merah menyala,
Asapnya melemaskan,
Menyesakkan dada,
Mengapakah engkau diam membisu,
Nyatakanlah benci, kasih atau rindu !

Masihkah….
Setiamu seperti dahulu,
Menanti dan menunggu,
Suatu harapan yang tak pasti,
Seperti menunggu, buah tak gugur
Masihkah belum luntur, kendur
Sayang, kasihmu akan diriku !

Masihkah….
Terpahat rasa cemburu,
Iri hati di dalam kalbu,
Dikumpulkan sekian lama, terperam
Menggunung tinggi,
Bagaikan tak kelihatan sinar mentari,
Awan berarak mendung, kelabu !

Masihkah….
Digenggam kemas dan erat,
Kekecewaan, kehampaan musim lalu
Sukarnya melepaskan,
Terbang bebas bak burung,
Hidup tak diselimuti sedih, murung
Tidur tak lena, makan tak lalu !

Masihkah….
Tersimpan, sekelumit rasa cinta
Kasih dan sayangmu, kekasih
Bukan dendam atau pura-pura,
Syukur, alhamdulillah
Doa ku mohon, ke hadrat Allah
RestuMu ku pinta dan pasrah !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 20 Oktober 2010.
Puisi No. 221
Hak Cipta Terpelihara.

Monday, October 18, 2010

Sajak: " Patah Hati.... "

Patah hati….
Itulah namanya lagu,
Rentak asli, kegemaranku
Hati tersentuh, menusuk kalbu ;
Iramanya indah, di malam sepi
Terkenang, teringat kisah lama
Mengalir, berlinangan air mata !

Patah hati….
Dendangan lagunya merdu,
Indahnya seni, budaya Melayu
Mengasyikkan, memikat jiwa ;
Meruntun kalbuku,
Pusaka, adat resam bangsa
Disanjung tinggi, dipuja !

Patah hati….
Irama asli, dilupa jangan
Tidak dikesampingkan ;
Kelak, merajuklah ia ke belukar
Ke hutan berduri, membawa diri
Kalaulah pandai memujuk,
Burung terbang, balik ke sangkar !

Patah hati….
Membawa seribu kenangan,
Sukarnya, inginku lupakan
Kasih, bagaikan sebuah impian ;
Hancur dan musnah, terkulai layu
Tiada lagi kata-kata manis merayu,
Bungapun tak berseri lagi !

Patah hati….
Lagulah Melayu Asli,
Dendangan, anak remaja dahulu 
Jadi penglipur, penawar rindu ;
Mekar, suburlah lagu, irama lama
Indah tersusun kata-kata, 
Puisi dan seloka !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 18 Oktober 2010.
Puisi No. 220
Hak Cipta Terpelihara.

Sunday, October 17, 2010

Sajak: " Sepi.... "

Sepi….
Mencari wajahmu,
Kamarku, tak berteman kini
Hanya bunga rampai bertaburan,
Harumannya mewangi, menyegarkan
Seperti ditinggalkan, begitu lama
Rindu, menggamit rasa !

Sepi….
Apakah yang perlu kulakukan,
Tanpa teman ketawa, bercanda
Atau turun, menghala ke kota
Menyusuri pantai sendirian,
Melihat bulan di langit tinggi,
Mengambang, ketika ini !

Sepi….
Bisakah aku, nyenyak beradu
Tanpamu kekasih, di sisi
Tidurku beradunkan mimpi,
Atau bersama gelisah memanjang,
Menunggu siang,
Terbitnya mentari pagi !

Sepi….
Sesekali datang bertandang,
Bersama hembusan angin malam,
Di angin lalu, dikirimkan salam
Pergilah, jangan lupa kembali
Berjauhan begini,
Rindu kasih, tertaut sayang !

Sepi….
Damaikanlah hati ini,
Bisikkanlah kata-kata puisi, seloka
Dendangkan aku lagu yang indah,
Bukannya lagu," Patahnya Hati"
Atau nolstalgia, masa lalu
Sedih, menusuk kalbu !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 17 Oktober 2010.
Puisi No. 219
Hak Cipta Terpelihara.

Saturday, October 16, 2010

Sajak: " Puisi Jenaka.... " Bahagian 2

Puisi Pak Pandir….
Perihal bersama isteri, 
Mak Andeh, lebih cerdik daripadanya
Pak Pandir, menurut saja kata Mak Andeh
Terlalu lurus, atau kurang cerdiknya
Ada ketika, terlebih akal pula
Mak Andeh terpedaya !

Puisi Pak Pandir….
Apalah nasibnya diri,
Belalang rusa, Pak Pandir tak kenali
Tapi, malu pula bertanya
Nak dijadikan umpan, mengail ikan
Rusa dicari, kerja mudah menjadi sukar
Penat, lelah, Mak Andih mengajar !

Puisi Pak Pandir….
Meraung, menangislah
Tapi, terlambat sudah;
Sedihnyanya hati Mak Andih,
Anaknya dimandikan, Pak Pandir
Air panas mendidih,
Mati, disangkakannya ketawa !

Puisi Pak Pandir….
Hajat di hati, nak adakan kenduri
Doa selamat, anaknya yang mati;  
Pak Pandir mencari imam, lebai
Malangnya, dia tak tahu dan tak kenal
Ditangkapnya kambing di padang rumput,
Sangkakan lebai kerana berjanggut !

Puisi Pak Pandir….
Malang berterusan menimpa diri,
Tinggalkan Mak Andih, jauh daripada isteri
Nak merantau, dia berhajat;
Bersembunyi ia di atas para,
Dimakannya pisang, tak terkira
Diri tercekik, membawa mati !

Puisi Pak Pandir….
Untukmu anak-anak, kesayangan
Cucu, cicit, anak bangsa;
Inilah sebuah ceritera rakyat,
Ambil pengajaran daripadanya,
Menuntut ilmu, mestilah taat
Dunia, akhirat tidak dilupa !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 17 Oktober 2010.
Puisi No. 218
Hak Cipta Terpelihara.

Wednesday, October 13, 2010

Sajak: " Puisi Jenaka.... " Bahagian 1

Puisi Lebai Malang….
Sebuah ceritera rakyat,
Nasib yang tak menyebelahinya,
Kerana sikap diri,
Tamak dan haloba,
Memakan diri sendiri,
Akhirnya rugi !

Puisi Lebai Malang….
Diundang menghadiri kenduri,
Tiga jemputan dalam sehari,
Di hilir dan dibaruh,
Sukarnya membuat pilihan,
Hatinya, tamak sakan
Jiran yang dekat, dikemudiankan !

Puisi Lebai Malang….
Angan-angannya berjela,
Kenyang makan, kenduri-kendara
Dapat imbuhan, hatinya suka;
Tapi impiannya luluh, musnah
Lebai malang, terlambat sudah
Tak tercapai, hajat tak sampai!

Puisi Lebai Malang….
Apa yang ada semuanya hilang:
Ada makanan, diambil anjing
Nira yang ada, dibuang, dibaling
Pakaian hilang, diambil orang
Tiba dirumah, dimarahi, dipukuli isteri
Lebai malang, hibanya hati !

Puisi Lebai Malang….
Jadikan sketsa ini suatu tauladan,
Ceritera ini jadikan pengajaran,
Bersikap, tamak dan haloba
Allah Yang Esa, tak suka, tak merestui
Mengundang malang, mala petaka
Akhirnya, sendiri yang rugi !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 13 Oktober 2010
Puisi No. 217
Hak Cipta Terpelihara.