Wednesday, September 8, 2010

Sajak : " Bilakah berakhirnya.... "

Bilakah berakhirnya….
Perasaan ego, sombong diri
Angkuh dan akulah paling mulia,
Jangan ada yang membantah,
Atau berkata tidak,
Akan meranalah, akhirnya
Teraniaya!

Bilakah berakhirnya….
Pertelagahan ini,
Seperti tiada penghujung,
Air matapun mengalir tiada henti,
Rasa sedih menusuk kalbu,
Langitpun kian mendung,
Hujan gerimis membasahi bumi!

Bilakah berakhirnya….
Adu domba, sesama sendiri
Kerana matlamat menghalalkan cara,
Tidak perlu ambil kisah, peduli
Kata hati, "Aku ingin berjaya!"
" Orang lain, peduli apa!"
Bukan aku yang menderita!

Bilakah berakhirnya….
Rasa ketidakpuasan ini,
Mahu digarap, serakus mungkin
Hingga ke akhir hayat,
Atau sudah lupa, esok lusa akan mati
Harta di dunia, bukan boleh dibawa bersama
Bersemadi di liang lahat!

Bilakah berakhirnya….
Sandiwara, pementasan ini
Insan bagaikan tak kenal diri sendiri,
Membezakan buruk dan baik,
Melobi untuk kepentingan,
Terlupa akan fitrah,
Sedarlah, kembali ke jalan Allah!

Bersamalah kita….
Mengukuh ikatan silaturrahim,
Jauhi pertelagahan, persengkitaan
Hidup adalah sementara,
Banyak pancaroba, dugaan
Kepada Mu Allah kami berserah,
Kepada Mu jua, kami pasrah!


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 9 September 2010.
Puisi No.194
Hak Cipta Terpelihara.

No comments: