Thursday, October 21, 2010

Sajak: " Gadis dan bunga.... " Bahagian 2

Gadis dan bunga….
Tiba-tiba ada rasa rindu,
Sekian lama, tak bersua, tak bertemu
Wajahmu, bermain di mata
Ada keriangan di hati,
Bagaimana, ia kini
Masih peramahkah,
Bersama bunga-bunga !

Gadis dan bunga….
Jarang sekali, berjumpa kini
Jarak, masa dan tugas memisahkan
Ia, bila mungkin kita bersua
Aku, ke Tanah Tinggi
Mencari bunga-bunga,
Untuk kekasih, teman, isteri
Kembang mekar, harum mewangi !

Gadis dan bunga….
Punya cita rasa, indah, mulia
Tulus, ikhlas seorang sahabat
Pilihkan aku, kuntum-kuntum bunga
Untuk seorang kekasih,
Di hari lahirnya,
Ingin melihat ia, riang-ria
Terasa, bahagia !

Gadis dan bunga….
Pilihkan aku, anggerik merah
Berikan aku, anggerik putih
Pilihkan aku, mawar yang indah
Harumannya menyegarkan kamar,
Gubahkan, serikan
Inginku nyatakan, bisikkan
Untukmu, kekasih !

Gadis dan bunga….
Terima kasih,
Kita masih lagi bersahabat,
Saling hormat, mempercayai, mengunjungi
Mungkin tak seperti dulu, selalu ;
Semoga, ceria, hidupmu berkat
Kental jiwa, sabar dan gigih,
Tabah dan berani !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 21 Oktober 2010.
Puisi No. 223
Hak Cipta Terpelihara.

Wednesday, October 20, 2010

Sajak: " Di sebalik jendela.... "

Di sebalik jendela….
Aku masih lagi menanti, menunggu
Kembalinya, seorang wanita
Telah surutkah, rajuk semusim lalu
Hadir dengan senyuman,
Bibirnya bak delima merekah,
Tiada gundah !

Di sebalik jendela….
Ku kesatkan air mata,
Mengalir membasahi pipi,
Mengenang rajuk yang sekian lama, 
Pilu yang membumkam sedih di hati,
Bagaikan ombak laut di pantai,
Jiwaku diamuk badai!

Di sebalik jendela….
Melihat ruang kamarku yang sepi,
Bingkai potretmu di dinding,
Diri, seperti terpisah dan terasing
Kita, tidak lagi mengenali diri
Kerana rajuk yang berpanjangan,
Nafsu, nafsi, menggoda jiwa !

Di sebalik jendela….
Mataku, masih mencari wajahmu
Seorang teman, isteri dan kekasih
Pulanglah, kembali ke pangkuan
Janganlah ada rasa sangsi dan curiga,
Lupakan kisah silam, semusim lalu
Bina semula istana cinta !

Di sebalik jendela….
Harapanku, menggunung tinggi
Setinggi Kinabalu, sekukuh Titiwangsa
Serikanlah kamar ini kembali,
Seharum mawar, semerbak kasturi
Jalanku, ada sinar dan cahaya
Melodi indah, dendangkan semula !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
Esdije @ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 21 Oktober 2010.
Puisi No. 222
Hak Cipta Terpelihara.

Sajak: " Masihkah.... "

Masihkah….
Terbakar rimba marahmu,
Tak terpadam sehingga kini,
Baranya merah menyala,
Asapnya melemaskan,
Menyesakkan dada,
Mengapakah engkau diam membisu,
Nyatakanlah benci, kasih atau rindu !

Masihkah….
Setiamu seperti dahulu,
Menanti dan menunggu,
Suatu harapan yang tak pasti,
Seperti menunggu, buah tak gugur
Masihkah belum luntur, kendur
Sayang, kasihmu akan diriku !

Masihkah….
Terpahat rasa cemburu,
Iri hati di dalam kalbu,
Dikumpulkan sekian lama, terperam
Menggunung tinggi,
Bagaikan tak kelihatan sinar mentari,
Awan berarak mendung, kelabu !

Masihkah….
Digenggam kemas dan erat,
Kekecewaan, kehampaan musim lalu
Sukarnya melepaskan,
Terbang bebas bak burung,
Hidup tak diselimuti sedih, murung
Tidur tak lena, makan tak lalu !

Masihkah….
Tersimpan, sekelumit rasa cinta
Kasih dan sayangmu, kekasih
Bukan dendam atau pura-pura,
Syukur, alhamdulillah
Doa ku mohon, ke hadrat Allah
RestuMu ku pinta dan pasrah !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 20 Oktober 2010.
Puisi No. 221
Hak Cipta Terpelihara.

Monday, October 18, 2010

Sajak: " Patah Hati.... "

Patah hati….
Itulah namanya lagu,
Rentak asli, kegemaranku
Hati tersentuh, menusuk kalbu ;
Iramanya indah, di malam sepi
Terkenang, teringat kisah lama
Mengalir, berlinangan air mata !

Patah hati….
Dendangan lagunya merdu,
Indahnya seni, budaya Melayu
Mengasyikkan, memikat jiwa ;
Meruntun kalbuku,
Pusaka, adat resam bangsa
Disanjung tinggi, dipuja !

Patah hati….
Irama asli, dilupa jangan
Tidak dikesampingkan ;
Kelak, merajuklah ia ke belukar
Ke hutan berduri, membawa diri
Kalaulah pandai memujuk,
Burung terbang, balik ke sangkar !

Patah hati….
Membawa seribu kenangan,
Sukarnya, inginku lupakan
Kasih, bagaikan sebuah impian ;
Hancur dan musnah, terkulai layu
Tiada lagi kata-kata manis merayu,
Bungapun tak berseri lagi !

Patah hati….
Lagulah Melayu Asli,
Dendangan, anak remaja dahulu 
Jadi penglipur, penawar rindu ;
Mekar, suburlah lagu, irama lama
Indah tersusun kata-kata, 
Puisi dan seloka !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 18 Oktober 2010.
Puisi No. 220
Hak Cipta Terpelihara.

Sunday, October 17, 2010

Sajak: " Sepi.... "

Sepi….
Mencari wajahmu,
Kamarku, tak berteman kini
Hanya bunga rampai bertaburan,
Harumannya mewangi, menyegarkan
Seperti ditinggalkan, begitu lama
Rindu, menggamit rasa !

Sepi….
Apakah yang perlu kulakukan,
Tanpa teman ketawa, bercanda
Atau turun, menghala ke kota
Menyusuri pantai sendirian,
Melihat bulan di langit tinggi,
Mengambang, ketika ini !

Sepi….
Bisakah aku, nyenyak beradu
Tanpamu kekasih, di sisi
Tidurku beradunkan mimpi,
Atau bersama gelisah memanjang,
Menunggu siang,
Terbitnya mentari pagi !

Sepi….
Sesekali datang bertandang,
Bersama hembusan angin malam,
Di angin lalu, dikirimkan salam
Pergilah, jangan lupa kembali
Berjauhan begini,
Rindu kasih, tertaut sayang !

Sepi….
Damaikanlah hati ini,
Bisikkanlah kata-kata puisi, seloka
Dendangkan aku lagu yang indah,
Bukannya lagu," Patahnya Hati"
Atau nolstalgia, masa lalu
Sedih, menusuk kalbu !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 17 Oktober 2010.
Puisi No. 219
Hak Cipta Terpelihara.

Saturday, October 16, 2010

Sajak: " Puisi Jenaka.... " Bahagian 2

Puisi Pak Pandir….
Perihal bersama isteri, 
Mak Andeh, lebih cerdik daripadanya
Pak Pandir, menurut saja kata Mak Andeh
Terlalu lurus, atau kurang cerdiknya
Ada ketika, terlebih akal pula
Mak Andeh terpedaya !

Puisi Pak Pandir….
Apalah nasibnya diri,
Belalang rusa, Pak Pandir tak kenali
Tapi, malu pula bertanya
Nak dijadikan umpan, mengail ikan
Rusa dicari, kerja mudah menjadi sukar
Penat, lelah, Mak Andih mengajar !

Puisi Pak Pandir….
Meraung, menangislah
Tapi, terlambat sudah;
Sedihnyanya hati Mak Andih,
Anaknya dimandikan, Pak Pandir
Air panas mendidih,
Mati, disangkakannya ketawa !

Puisi Pak Pandir….
Hajat di hati, nak adakan kenduri
Doa selamat, anaknya yang mati;  
Pak Pandir mencari imam, lebai
Malangnya, dia tak tahu dan tak kenal
Ditangkapnya kambing di padang rumput,
Sangkakan lebai kerana berjanggut !

Puisi Pak Pandir….
Malang berterusan menimpa diri,
Tinggalkan Mak Andih, jauh daripada isteri
Nak merantau, dia berhajat;
Bersembunyi ia di atas para,
Dimakannya pisang, tak terkira
Diri tercekik, membawa mati !

Puisi Pak Pandir….
Untukmu anak-anak, kesayangan
Cucu, cicit, anak bangsa;
Inilah sebuah ceritera rakyat,
Ambil pengajaran daripadanya,
Menuntut ilmu, mestilah taat
Dunia, akhirat tidak dilupa !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 17 Oktober 2010.
Puisi No. 218
Hak Cipta Terpelihara.

Wednesday, October 13, 2010

Sajak: " Puisi Jenaka.... " Bahagian 1

Puisi Lebai Malang….
Sebuah ceritera rakyat,
Nasib yang tak menyebelahinya,
Kerana sikap diri,
Tamak dan haloba,
Memakan diri sendiri,
Akhirnya rugi !

Puisi Lebai Malang….
Diundang menghadiri kenduri,
Tiga jemputan dalam sehari,
Di hilir dan dibaruh,
Sukarnya membuat pilihan,
Hatinya, tamak sakan
Jiran yang dekat, dikemudiankan !

Puisi Lebai Malang….
Angan-angannya berjela,
Kenyang makan, kenduri-kendara
Dapat imbuhan, hatinya suka;
Tapi impiannya luluh, musnah
Lebai malang, terlambat sudah
Tak tercapai, hajat tak sampai!

Puisi Lebai Malang….
Apa yang ada semuanya hilang:
Ada makanan, diambil anjing
Nira yang ada, dibuang, dibaling
Pakaian hilang, diambil orang
Tiba dirumah, dimarahi, dipukuli isteri
Lebai malang, hibanya hati !

Puisi Lebai Malang….
Jadikan sketsa ini suatu tauladan,
Ceritera ini jadikan pengajaran,
Bersikap, tamak dan haloba
Allah Yang Esa, tak suka, tak merestui
Mengundang malang, mala petaka
Akhirnya, sendiri yang rugi !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 13 Oktober 2010
Puisi No. 217
Hak Cipta Terpelihara.

Tuesday, October 12, 2010

Sajak: " Ombak cinta.... "

Ombak cinta….
Menari, memutih di lautan
Bagaikan bercanda, berseloka
Kata-kata bermadah, berbisik indah
Manisnya senyuman, bibirnya merekah
Terubat rindu, lama terpendam
Bayanganmu, kekasih
Tak pernah padam !

Ombak cinta….
Beralun tenang, syahdunya suara
Melambai, memanggil kenangan lama:
Senja, di jeti pelabuhan itu
Setianya, engkau menunggu
Menanti, kepulangan yang tak pasti
Kekasih, masihkah ada keraguan di hati
Atau telah benci, rasa jemu !

Ombak cinta….
Lihatlah camar berterbangan,
Riangnya menyampaikan salam,
Cantik, terbentang luas, indahnya alam
Memuja dan memuji,
Kebesaran Ilahi,
Kasihnya akan Ya Rabbi,
Menggunung tinggi !

Ombak cinta….
Ingin aku bergandingan tangan,
Mendakap erat, jasad dan jiwamu
Di kesunyian malam begini, di pantai
Hanya deburan ombak,
Berceritera, berlagu
Hilangkan rasa duka, sedih
Tak ingin, aku merintih !

Ombak cinta….
Kususuri pantaimu malam ini,
Sejuk terasa, bayu mengusap muka
Embun pagi mulai menitik;
Ku berjanji, akur dan pasrah
Patah tumbuh, hilangkan berganti
Redhalah aku, tabah menghadapi
Menanti sinar cahaya, esok yang cerah !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 12 Oktober 2010.
Puisi No. 216
Hak Cipta Terpelihara.

Sunday, October 10, 2010

Sajak: " Keindahan.... " Bahagian 2

Indahnya….
Perjalanan hidup ini,
Lorongnya berliku, ranjau-berduri
Suatu manifestasi ujian,
Menguji ketabahan, kecekalan
Dugaan Ya Rabbi, akan hambaNya
Kembali kelak, menghadapi penciptaNya
Sempurnakah bekalan diri ! 

Indahnya….
Suatu kedamaian itu,
Melingkari erat jasad dan kalbu,
Terasa begitu sejuk, menghilangkan dahaga
Wujud, terdapat di mana jua
Setiap penjuru, kota dunia
Terbit rasa kasih dan sayang,
Tiada sengkita, hidup riang !

Indahnya….
Jika hati tidak terbelenggu
Rasa keegoan, iri hati dan cemburu
Hidup tak dirantai keresahan, kedukaan
Tidak bermandikan kesedihan,
Kita dibelai mesra, berkasih sayang
Saling merindui, mempercayai
Alangkah bahagia !

Indahnya….
Jika subur rasa ketakwaan,
Wujud dalam diri, bersama amalan
Bersatu jasad dan jiwa,
Semakin mantap dan kukuh, keimanan
Tak mudah goyah, patah terkulai
Dipukul ribut, gelombang badai
Kasihnya,kepadaMu jua !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 10 Oktober 2010.
Puisi No. 215
Hak Cipta Terpelihara.

Saturday, October 9, 2010

Sajak: " Mestikah kecewa.... "

Mestikah….
Rasa kecewa, hampa
Patah terkulai semangatku,
Bergerak melangkah, tabah berusaha
Setelah sekian lama mencuba,
Oh, anak-anakku tersayang
Dalam diriku, terpahat kukuh
Masih setia, semangat juang !

Mestikah….
Rasa kecewa, hampa
Sukarnya menerangkan,
Betapa payahnya membimbing,
Menyebar, memberi ilmu kepadamu
Oh, anak-anakku tersayang,
Benarkah kamu, tak termampu
Di manakah, salah-silapku !

Mestikah ada….
Rasa kecewa, hampa
Masih sangsi, ragukan ketelusan
Atau diriku yang lemah, tak terdaya
Tak mampu membimbing dan mendidik,
Oh, anak-anakku tersayang
Ke arah laluan terbaik,
Demi masa depan !

Mestikah ada….
Rasa kecewa, hampa
Sukarnya kamu, membaca, mengira
Sukarnya kamu, berinteraksi, berkomunikasi
Tidak keyakinan diri, suka menyendiri
Oh, anak-anakku tersayang
Janganlah, lalai dan leka
Hidup mesti berjuang !

Pasrah, kepadaMu Illahi
Tabahkan hatiku ini,
Membimbing, mendidikmu anak-anakku
Tugas mulia, suatu amanah
Takkan kumundur, menyerah kalah
Obor harapan, akan kunyalakan
Tercapailah cita-cita, impian
Pembela watan !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 10 Oktober 2010.
Puisi No.214
Hak Cipta Terpelihara.

Friday, October 8, 2010

Sajak: " Keindahan.... " Bahagian 1

Indahnya….
Panorama ketika subuh,
Menunggu fajar, terbitnya mentari 
Senja, bersama tirai malam berlabuh
Tersemai rasa syahdu, rindu dan kasih
Kecintaan akan penciptaNya, 
Maha Agong, kian erat dan kukuh
Terasa amat kecilnya, diri !

Indahnya….
Sebutir permata, mutiara budi
Bersimpuh sopan, perilaku yang tabah
Tercanai keluhuran, keikhlasan 
Jiwa kian diulit nikmat kebahagian, 
Rindu pun bersemarak, membara
Tiada kata-kata ego, prasangka
Syukur, alhamdulillah !

Indahnya….
Ukhwah dan keakraban ,
Jalinan mesra suatu persahabatan,
Ada rasa kasih, juga ketakwaan
Kesetiaan menjadi tunjang, 
Kukuh, subur melata akarnya
Tiada keraguan, bimbang
Bukan gunting dalam lipatan !

Indahnya….
Suatu ikatan, perkongsian
Rumah tangga, sepasang suami isteri
Melayari bahtera, bak merpati dua sejoli
Sikap toleransi, saling menghormati
Bercanda, berkasih, bersenda-gurauan
Cinta dan kasih akan agama,
Sehati dan sejiwa !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 8 Oktober 2010.
Puisi No. 213
Hak Cipta Terpelihara

Wednesday, October 6, 2010

Sajak: " Terlena.... "

Terlena….
Masihkah diulit mimpi,
Berbicara, berbisik tentang rindu
Ikatan kasih dan sayang;
Suatu kisah lalu, memori silam
Semakin kabur dan kelam,
Pudar, bagaikan bayang !

Terlena….
Perlukah kita berbicara,
Tentang duka dan air mata,
Tiada henti menangisi, bersedih hati;
Bagaikan suatu nolstagia,
Hidup terkongkong, murung
Muram, tidak bermaya !

Terlena….
Persoalannya, sampai bila
Diri tak sanggup berdepan, melangkah
Berani beraksi, berjiwa tabah;
Bangunlah, tidak lalai dan alpa
Nyalakanlah obor di tangan
Menerangi kegelapan !

Terlena….
Jangan dirimu dibelenggu,
Jasad dirantai kaku, bak tunggul kayu
Lupakanlah kenangan duka, masa silam;
Hidup tak perlu bersedih, muram
Esok, selagi ada cahaya mentari
Bunga di taman, harum mewangi !

Terlena….
Bukalah pintu kamarmu,
Bukalah jendela hati seluasnya,
Cahaya menjerlus masuk, menerangi;
Lihatlah panorama luas terbentang,
Duniamu tak kesunyian, sepi 
Ada suara merdu, berlagu !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 7 Oktober 2010.
Puisi No. 211
Hak Cipta Terpelihara.

Tuesday, October 5, 2010

Sajak: " Seri wajahmu.... "

Seri wajahmu….
Saudara Muslimin, Muslimah
Sejuk, mata yang memandang
Sinar, terpancar indah
Tenangnya jiwa,
Tidak angkuh atau riak,
Berpura-pura !

Seri wajahmu….
Saudara Muslimin, Muslimah
Lemah lembut, perwatakan
Bersopan-santun, indah budi bahasa
Tertarik, terpikat, mempersona
Bersihnya jiwa, pakaian
Lambang kemuliaan !

Seri wajahmu….
Saudara Muslimin, Muslimah
Aurat tertutup, terpelihara
Tidak memperaga, tiada prasangka;
Kasihlah kita akan Allah, Yang Esa
Tiada sekutu, Dialah satu
Akur, pasrah akan hukumNya !

Seri wajahmu….
Saudara Muslimin, Muslimah
Kita adalah bersaudara,
Perlu bersatu, saling membantu
Eratkan silaturrahim dan ukhwah,
Saling menasihati, meneguri
Dirahmati Allah selalu, insya Allah !

Seri wajahmu….
Saudara Muslimin, Muslimah
Kita datang, bagaikan selimut putih
Lembut bak kapas, bersih
Lembut hati dan jiwa,
Begitulah fitrahNya,
Maha Pengasih, Allah Yang Esa !

Seri wajahmu….
Saudara Muslimin, Muslimah
KepadaMu jua aku mohon doa, berserah
Restui, rahmati kami ketika kembali
Ke pangkuanMu, Ya Rabbi
Tempatkan kami di syurgaMu, Ya Allah
Bukan di kalangan mereka yang dimurkai !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarilh: 6 Oktober 2010.
Puisi No. 210
Hak Cipta Terpelihara.

Sajak: " Maafkan aku, sayang.... "

Maafkan aku, sayang….
Tidak mengerti, memahami
Maksud tersembunyi, tersirat di hati
Seperti tak terasa apa-apa,
Bukan diperlakukan, sengaja
Atau buat-buat lupa,
Tidak disedari !

Maafkan aku, sayang….
Memungkiri kata dan janji,
Indahnya, mempersona kalbu
Manisnya impian, bagaikan madu
Terungkai sudah suatu ikatan,
Tiada lagi kata kemesraan,
Tak seperti dahulu !

Maafkan aku, sayang….
Membiarkan dirimu sendirian,
Tak bercahaya, dalam kegelapan
Tiada arah dan panduan;
Terkapar, terdampar
Menunggu dan menanti,
Sinar suria pagi !

Maafkan aku, sayang….
Jika ada rasa marah, kebencian
Berputik, tumbuh subur di kalbumu
Tiada lagi kata-kata manis, bisikan rindu;
Kita pun seperti terasing,
Lidah, kelu membisu
Harapan seperti bayangan !

Maafkan aku, sayang….
Lontarkan jauh-jauh, melayang
Resah-hati, rasa curiga
Dendam kesumat di jiwa;
Akan kucuba menghampiri,
Berikan kasih dan sayang,
Taat, setia, kasih tak berbelah bagi !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 5 Oktober 2010.
Puisi No.209
Hak Cipta Terpelihara.

Monday, October 4, 2010

Sajak: " Relaku menanti.... "

Relaku menanti….
Walaupun seribu tahun lagi,
Nyanyian, lagu suara hati
Anak muda, dialun gelombang
Cinta, kasih dan sayang
Dibuai, diulit rindu
Tidur tak lena, makan tak lalu !

Relaku menanti….
Sabar menunggu, kekasih datang
Ingin melihat wajah kesayangan,
Senyumannya merekah,
Terhias indah,
Kubiarkan lidahku kelu,
Menatap seri wajahmu !

Relaku menanti….
Di bawah terik sinar mentari,
Panas dan hujan, tak kupeduli
Masih setia menunggu,
Di pelabuhan rindu,
Kulihat, ombak beralun memutih
Mengintai, dirimu kekasih !

Relaku menanti….
Menunggu pelangi bertandang,
Menghiasi langit petang,
Indahnya warna-warni;
Rimba kelamku kembali cerah,
Kasih, rinduku, terukir megah
Sungainya mengalir tenang !

Relaku menanti….
Walaupun seribu tahun lagi,
Simfoni lagu rindu,
Memuja, memujimu kekasih
Kubisikkan, berkumandang selalu
Tersirnalah rasa sepi,
Resah-gelisah !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 3 Oktober 2010.
Puisi No. 207
Hak Cipta Terpelihara.

Sajak: " Seruling rindu.... "

Seruling rindu….
Tiupannya berlagu,
Gementar membelah maya,
Ketika malam sepi begini,
Memanggil, menggamit rasa
Alunannya berombak,
Jiwaku sebak !

Seruling rindu….
Iramanya merdu, mendayu
Selembut tangan yang menari,
Mulut yang meniup,
Seruling, lagu rinduku
Tersentuh kalbu,
Lena dibuai mimpi !

Seruling rindu….
Punggukpun terpaku,
Sayup, tinggi di pohon kayu
Merdunya irama,
Memanggil, menyeru kekasih
Bulan diselaputi awan,
Pungguk berhati rawan !

Seruling rindu….
Aku masih di pantai, sendirian
Mendengar deru angin, deburan ombak
Mendengar nyaring, tiupan seruling
Seorang anak muda remaja,
Tenang, berwajah syahdu
Dilamun rasa kasih dan cinta !

Seruling rindu….
Izinkan aku mengatur langkah,
Mencari jalan pulang;
Esok, jika aku masih di sini
Hati diulit resah dan rasa sepi,
Kubawa diri, hadir bertandang
Tiupan seruling, bergemalah lagi !


Dicipta oleh :

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blohspot.com
Tarikh: 4 Oktober 2010.
Puisi No. 208
Hak Cipta Terpelihara.

Friday, October 1, 2010

Sajak: " Kalau.... "

Kalau….
Ada rasa rindu,
Katakan segera,
Jangan malu atau ragu,
Bukan mahu terburu-buru,
Bukan khuatir atau bimbang,
Kelak kehilangan, orang tersayang !

Kalau….
Ada rasa kesudian,
Katakan, jangan ditunggu, dinanti
Pastinya, akan kuhadirkan diri
Menambah meriahkan pesta,
Kita gembira bersama,
Meraikan undangan !

Kalau….
Ada rasa kasih,
Katakan, biar kutahu dan hargai
Menilai antara batu atau permata,
Bukan bersikap hipokrit, pentingkan diri
Talam dua muka, berpura-pura
Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong !

Kalau…
Ada rasa cinta,
Jangan dibiarkan berlalu,
Singgah sebentar di sini,
Di perhentian rindu,
Pupuk, belaikan dengan kemesraan
Agar kasih, kekal berpanjangan !

Kalau….
Ada rasa ketakwaan,
Cinta dan kasih akan agama,
Kita jaga, hormati akhlak diri
Semoga dirahmati Allah selalu,
Hidup sejahtera, bahagia
Dilindungi Ya Rabbi, Yang Esa !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 1 Oktober 2010.
Puisi No. 205
Hak Cipta Terpelihara.