Monday, August 23, 2010

Sajak : " Anakku OKU.... "

" Anakku OKU…. "

Anakku disleksia….
Sukarnya mengenal huruf,
Membaca dan mengeja,
Merangkak-rangkak menyebut,
Membina ayat apatah lagi,
Tiada konfiden, keyakinan diri
Mengeluh sendiri !

Anakku diskalkulia….
Sukarnya mahu mengira,
" Dua tambah dua berapa?"
"Senanglah cikgu…"
"Berapa….?"
"Tiga, cikgu…"
Yakinnya jawapan, begitu spontan !

Anakku sindrom down….
Senyumnya menawan,
Hatiku terpikat, tertawan
Akan kuajar setakat termampu,
Berdikari, mengurus diri
Boleh membaca, mengira
Intan permata, ayah dan bonda !

Anakku Oku….
Dikatakan lembab, terencat akal
Berfikiran tak waras,
Spastik, sukarnya bergerak berjalan
Berkerusi roda, perlukan bantuan
Sabar dan tabah, anakku sayang
Dugaan Ya Rabbi, tak perlu kesal !

Anakku OKU….
Matamu tak melihat dunia,
Malam siang, sama sahaja
Sukarnya, bergerak melangkah
Tak perlu rasa malu, ragu
Allah, Maha Pengasih, Penyayang
KepadaNya mohon restu dan pasrah !

Anakku OKU….
Hidup ini perjuangan,
Jangan dikesal nasib menimpa,
Panggillah " ayah…",
Panggillah " ibu…. ",
Jangan mudah menyerah kalah,
Suaramu tentu, bak buluh perindu !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 23 Ogos 2010
Puisi No.185

No comments: