Wednesday, October 20, 2010

Sajak: " Di sebalik jendela.... "

Di sebalik jendela….
Aku masih lagi menanti, menunggu
Kembalinya, seorang wanita
Telah surutkah, rajuk semusim lalu
Hadir dengan senyuman,
Bibirnya bak delima merekah,
Tiada gundah !

Di sebalik jendela….
Ku kesatkan air mata,
Mengalir membasahi pipi,
Mengenang rajuk yang sekian lama, 
Pilu yang membumkam sedih di hati,
Bagaikan ombak laut di pantai,
Jiwaku diamuk badai!

Di sebalik jendela….
Melihat ruang kamarku yang sepi,
Bingkai potretmu di dinding,
Diri, seperti terpisah dan terasing
Kita, tidak lagi mengenali diri
Kerana rajuk yang berpanjangan,
Nafsu, nafsi, menggoda jiwa !

Di sebalik jendela….
Mataku, masih mencari wajahmu
Seorang teman, isteri dan kekasih
Pulanglah, kembali ke pangkuan
Janganlah ada rasa sangsi dan curiga,
Lupakan kisah silam, semusim lalu
Bina semula istana cinta !

Di sebalik jendela….
Harapanku, menggunung tinggi
Setinggi Kinabalu, sekukuh Titiwangsa
Serikanlah kamar ini kembali,
Seharum mawar, semerbak kasturi
Jalanku, ada sinar dan cahaya
Melodi indah, dendangkan semula !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
Esdije @ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 21 Oktober 2010.
Puisi No. 222
Hak Cipta Terpelihara.

No comments: