Monday, September 27, 2010

Sajak: " Hadirmu dalam diriku.... "

Hadirmu dalam diriku….
Tidak pernah terlintas, dipinta
Namun, tak mungkin berkata " tidak!"
Aku tidak mampu, begitu
Pasrah padaMu, jua
Menerimanya dengan tabah,
Akan kucuba, takkan mengalah !

Hadirmu dalam diriku….
Pedih terasa seperti sembilu,
Namun, tak perlu resah-gelisah
Berhati gundah, atau kecewa
Kerana hidup, adalah perjuangan
Setiap ketika, perjuangkan
Aturkan langkah, segera !

Hadirmu dalam diriku….
Aku redha menerima dan pasrah,
Namun, rasa bersyukurku bercambah
Kerana, inilah ujian daripadaNya
Tak perlu bersedih, berhiba 
Semuanya kesementaraan jua,
Kembara ini ada destinasi dan noktah !

Hadirmu dalam diriku….
Akan kutempuhi penuh takwa,
Namun lorongnya kerikil, berduri
Sukarnya aku menapak, bergerak
Jatuh, kubangun semula, berlari
Ya Allah, tabahkanlah hatiku
Sabar menghadapi ujianMu ini !

Hadirmu dalam diriku….
Aku dibelenggu kerinduan,
Ingin kembali sembuh, pulih semula
Bagaikan menanti suatu keajaiban,
Tersirna, berakhirlah penantian
Namun kepadaMu, kumohon doa
Lindungi, rahmati aku, Ya Allah !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 28 September 2010.
Puisi No. 203
Hak Cipta Terpelihara.

Wednesday, September 22, 2010

Sajak: " Ombak.... "

Ombak…
Lautan membiru,
Saujana mata memandang,
Alam luas terbentang,
Memutih, berkejaran menuju pantai
Tiada henti bercanda,
Riangnya berpesta !

Ombak….
Menari dan berlagu,
Membisikkan kata-kata rindu,
Pecahnya di pantai,
Menampar batu dan karang,
Derumannya garang,
Jiwaku, tenang dan damai !

Ombak….
Aku kembali hadir, 
Menunggu dan menanti, kekasih
Seperti memori silam,
Mana mungkin, tapi masih mencuba
Mengukir dan memahat ceritera baru,
Atau hanya menambah luka !

Ombak….
Langit di sini, membiru, cerah
Awan berarak, kelabu
Kata-kata madah, berpuisi
Kurakamkan, kugubah
Mengingatimu, sekian lama membisu
Seperti tersisih, aku sendirian dibuai sepi !

Ombak….
Melihat anak-anak kecil,
Berlarian di pasir yang memutih,
Ada ibu, ayah disisi
Riang, dibelai manja, penuh kasih
Terasa bahagia, sempurnanya diri
Segala pujian untukMu, Ya Rabbi !

Ombak….
Perlukah aku tiupkan seruling ,
Memperdengarkan keluhanku,
Berkumandang, nyaring
Mengiringi nyanyian ombak,
Tersirnalah rasa, sedih dan sebak
Kekasih, segera kembali, ubati rinduku !

Ombak….
Damainya diri ketika petang,
Ketenangan hadir, bertandang
Unggas-unggas keriuhan,
Pulang ke sarang,
Senja, langit kemerahan
Lautan kian kelam !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 23 September 2010.
No.Puisi 202
Hak Cipta Terpelihara.

Sunday, September 19, 2010

Sajak: " Wajah.... " Bahagian 2

Wajah….
Kacak dan tampan,
Bergaya, seorang anak muda
Ilustrasi diri, jejaka idaman
Menjadi pilihan wanita,
Ingin menjadikannya kekasih hati,
Hatta seorang suami !

Wajah….
Ayu dan jelita,
Mempersona, seorang wanita
Menarik hati jejaka,
Ingin memikat, mendampingi
Menjadikannya teman,
Hatta seorang isteri !

Wajah….
Seorang lelaki, bernama suami
Seorang bapa penyayang,
Berbudi luhur, ringan tulang
Bertanggung jawab, membela nusa
Keluarga, agama dan bangsa,
Berani, gagah perkasa !

Wajah….
Seorang wanita, bernama isteri
Seorang ibu mithali, jiwanya mulia
Berilmu, bersopan-santun
Tutur kata, indah tersusun
Bijak menjaga maruah diri,
Tertutup auratnya !

Wajah….
Seorang anak,
Kesayangan, ayah dan ibu
Berakhlak mulia, berbudi bahasa
Menjaga nama baik, keluarga dan diri
Tidak menyapu arang ke muka,
Anak yang soleh, jiwanya bersih !

Inilah wajah-wajah….
Seribu harapan dan impian,
Mensyukuri nikmat, pemberianNya
Tenangnya jiwa dan kalbu,
Bersih, suci dan dingin
Sesejuk embun pagi, sehalus salju
KepadaMu jua, hatinya pasrah !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 20 September 2010.
Puisi No.201
Hak Cipta Terpelihara.

Wednesday, September 15, 2010

Sajak: " Langkahmu.... "

Langkahmu….
Bagaikan seorang puteri,
Nur Alya Zulaika, cucuku
Ada sinar cahaya,
Matanya yang merenungku,
Bagaikan bercerita,
Akan kudengari !

Langkahmu….
Di hari lebaran ini, sayang
Ada sopan-santunnya,
Ya, usiamu telah bertambah
Tutur katamu semakin petah,
Oh, terasa sejuk hati ini
Suaramu memikat kalbu !

Langkahmu….
Berpakaian sedondong,
Seperti ibu dan ayah,
Ayu dan cantik sekali,
Hmm, " Atuk saja yang boleh puji!"
Bukan , " Atuk bangga dan gah"
Ha,ha,ha , " Kalau tak Atuknya, siapa lagi !"

Langkahmu….
Bagaikan seorang model,
Warna 'pink' menjadi pilihan,
Mengapa harus begitu,
Terpikat, hati tertawan
Warna merah jambu,
Warna keriangan !

Langkahmu….
Ketika hari lebaran ini,
Bermain bunga api,
Bergemerlapan cahaya ketika malam,
Bagai bintang dalam genggaman,
Tapi harus hati-hati,
Waspada sentiasa !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 16 September 2010.
Puisi No.200
Hak Cipta Terpelihara.

Sajak: " Sendirian.... "

Sendirian….
Di lebuh raya ini,
Alunan muzik dan lagu,
Suara DJ menemani,
Aku tak perlu terburu-buru,
Segera ke destinasi,
Cuma perlu waspada, tak leka !

Sendirian….
Di perjalanan jauh ini,
Seperti ada rasa ketenangan,
Tak terasa kepenatannya,
Alam indah ciptaan Ya Rabbi,
Maha indah, mempersona
Sejuk mata memandang !

Sendirian….
Di sebuah bandaraya,
Melalui lorong-lorong sepi,
Banyak dugaan, pancaroba
Perlu berhati-hati,
Ada perangkap, sini-sana
Silap langkah, tergoda-terpedaya !

Sendirian….
Menapak ketika malam,
Ada rasa kerisauan,
Degup jantung, berdebar kencang
Suara berbisik terdengar,
Ke mana harus kutuju,
Atau kembali ke kamar !

Sendirian….
Di sebuah kamar sepi,
Melihat mobil-mobil bergerak,
Melalui jendela, terbuka luas
Bandaraya, lampu neon bercahaya
Malam seperti siang,
Oh, sukarnya melelapkan mata !

Sendirian….
Aku melakarkan semula,
Perjalanan, kembaraan hari ini,
Detik-detik kerisauan,
Pancaroba dan dugaan,
Kanvas putih, inilah salamku
Warna-warni kehidupan !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 15 September 2010.
Puisi No.199
Hak Cipta Terpelihara.

Monday, September 13, 2010

Sajak: " Kemarau.... "

Kemarau….
Panas yang berpanjangan,
Kering-kontang, bumi ketandusan
Hujanpun tak membasahi bumi,
Terasa amat bahangnya,
Rumputpun kering, tak bermaya
Gelisah membakar diri !

Kemarau….
Kasih dan sayang,
Dukapun terasa menyelimuti diri,
Dunia seakan sepi tak berlagu,
Bunga-bunga rindupun berputik,
Angin gelisah mulai gemersik,
Wajahpun tak berseri !

Kemarau….
Rindu , impikan kebahagian
Tak kelihatan cahaya dan sinarnya,
Langit bagaikan mendung, suram
Matahari bersembunyi,
Aku yang sekian lama menanti,
Rindu dendam, tak kesampaian!

Kemarau….
Berterusan malang menimpa,
Derita pun tiada henti,
Kekejaman menjadi suatu mainan,
Kerana sifat tamak dan haloba,
Sifat kemanusiaan tiada lagi, dalam diri
Hilang entah ke mana !

Kemarau….
Jangan engkau hampiri diriku,
Kekeringan dan ketandusan,
Kasih dan sayang,
Ingin aku dibelai kekasih, selalu
Bermandikan haruman mewangi,
Kuntum-kuntum mawar, penyeri diri !

Berakhirlah kemarau ….
Turunlah hujan, sirami bumi
Tidak membelenggu, merantai diri
Rumput kembali menghijau,
Pepohon kian merendang,
Gembira melihat kekasih datang
Penawar rindu di hati !


Dicipta oleh :

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 14 September 2010.
Puisi No.198
Hak Cipta Terpelihara. 

Sajak: " Lebuh raya.... "

Lebuh raya….
Di musim perayaan ini,
Menyambut lebaran, 
Syawal, Aidil Fitri 1431 Hijrah
Bagaikan suatu pesta tahunan,
Kenderaan bertali arus, tiada henti
Mengundang mala petaka !

Lebuh raya….
Seharusnya para pengguna,
Ambil iktibar, berhati-hati
Berhemah, waspada ketika memandu
Bukan mementingkan diri sendiri,
Ingin segera sampai ke destinasi,
Lupa, terleka peraturan di lebuh raya !

Lebuh raya….
Saban kalinya begitu,
Kehilangan anak, ayah, suami
Kehilangan isteri, kekasih dan ibu
Meratap hiba, saudara mara
Air mata pun kering, tak tertumpah
Sedih, pilunya hati teramat parah !

Lebuh raya….
Lebaran adalah hari yang dinanti,
Kalau bulan, bintang di langit tinggi
Ingin kita capai dan dakap,
Menikmati kenikmatan, kebahagiaan
Sama-sama kita raikan,
Bukan bermandikan air mata !

Lebuh raya….
Sama-samalah kita beringat, 
Berhati-hati dan berwaspada,
Ia bukan tempat mengadu kekuatan,
Menunjuk bijak, angkuh diri
Bersopan santun kita, saudara
Hidup, hormat menghormati !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 10 September 2010.
Puisi No.196
Hak Cipta Terpelihara.

Sajak: " Pusara.... " Bahagian 2

Pusara….
Mengunjungi taman ini kembali,
Hari-hari Syawal yang mulia,
Meruntun hati yang sepi,
Aku, seperti mengadu
Membisikkan kata-kata hati,
Dalam doaku, meluahkan rasa rindu !

Pusara….
Hari lebaran, bulan Syawal
Ramainya sanak-saudara,
Anak-anak, cucu-cicit
Sahabat, rakan taulan mengunjungi
Menyatakan rasa kasih,
Rasa rindu, terpendam di hati !

Pusara….
Kubersihkan perkuburan ini,
Kuhadiahkan Al-Fatihah,
Serta doa, setulus hati
Untukmu, ayah dan ibu
Saudara-saudara, rakan taulanku
Sejahtera, berbahagia di alam barzah !

Pusara….
Mengunjungimu, kerap-kali
Bukanlah suatu pesta, atau suka-suka
Tapi, ini adalah suatu peringatan
Kematian itu suatu yang pasti,
Akan kujadikan ia suatu iktibar,
Bersyukur, akan kasihNya Ya Rabbi !

Pusara….
Selamat tinggal, ayah dan bonda
Selamat tinggal saudara-saudaraku
Muslimin dan Muslimah,
Bersemadi, tenanglah di taman ini
Sampai masa dan ketika,
Kuturuti jua langkahmu !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 10 September 2010.
Puisi No.195
Hak Cipta Terpelihara.

Sajak: " Puisi seorang isteri.... "

" Puisi seorang isteri…. "

Puisi seorang isteri….
Bagaikan sebuah sketsa,
Tanda kasih dan sayang,
Penghargaan seorang suami,
Dalam melayari bahtera,
Menempuh ombak, gelombang
Badai berterusan !

Puisi seorang isteri….
Sketsa jatuh, bangunnya kehidupan
Perkongsian, rasa tanggung jawab
Ringan sama dijinjing,
Berat sama dipikul,
Seorang wanita, ditauladani
Tabah dan cekal, hadapi dugaan !

Puisi seorang isteri….
Adalah kelembutan seorang wanita,
Bersopan santun, indahnya budi
Tak memandang harta dunia,
Sukar terpengaruh, dihasut
Sejuk mata memandang,
Tertutup auratnya !

Puisi seorang isteri….
Kata-kata manis, tingkah laku
Senyuman dan ketawamu,
Bagaikan penglipur hati yang duka,
Menghilangkan dahaga,
Terik panas, dibakari cahaya mentari
Terasa sejuk, nyamannya diri !

Puisi seorang isteri….
Bagaikan seorang pahlawan,
Serikandi, pendekar di medan juang
Bijak bistari, berilmu, berpengetahuan
Bimbinglah anak-anakmu sayang,
Hidup berjasa, membela watan
Kesayangan bangsa dan agama !

Puisi seorang isteri….
Seorang ibu, seorang teman tersayang
Engkaulah, seorang kekasih
Besar jiwamu, tak mudah digugat
Ingin kukucup keningmu,
Menggenggam erat tanganmu,
Sebagai penghargaan, terima kasih !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 11 September 2010.
Puisi No.197
Hak Cipta Terpelihara.

Wednesday, September 8, 2010

Sajak : " Bilakah berakhirnya.... "

Bilakah berakhirnya….
Perasaan ego, sombong diri
Angkuh dan akulah paling mulia,
Jangan ada yang membantah,
Atau berkata tidak,
Akan meranalah, akhirnya
Teraniaya!

Bilakah berakhirnya….
Pertelagahan ini,
Seperti tiada penghujung,
Air matapun mengalir tiada henti,
Rasa sedih menusuk kalbu,
Langitpun kian mendung,
Hujan gerimis membasahi bumi!

Bilakah berakhirnya….
Adu domba, sesama sendiri
Kerana matlamat menghalalkan cara,
Tidak perlu ambil kisah, peduli
Kata hati, "Aku ingin berjaya!"
" Orang lain, peduli apa!"
Bukan aku yang menderita!

Bilakah berakhirnya….
Rasa ketidakpuasan ini,
Mahu digarap, serakus mungkin
Hingga ke akhir hayat,
Atau sudah lupa, esok lusa akan mati
Harta di dunia, bukan boleh dibawa bersama
Bersemadi di liang lahat!

Bilakah berakhirnya….
Sandiwara, pementasan ini
Insan bagaikan tak kenal diri sendiri,
Membezakan buruk dan baik,
Melobi untuk kepentingan,
Terlupa akan fitrah,
Sedarlah, kembali ke jalan Allah!

Bersamalah kita….
Mengukuh ikatan silaturrahim,
Jauhi pertelagahan, persengkitaan
Hidup adalah sementara,
Banyak pancaroba, dugaan
Kepada Mu Allah kami berserah,
Kepada Mu jua, kami pasrah!


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 9 September 2010.
Puisi No.194
Hak Cipta Terpelihara.

Tuesday, September 7, 2010

Sajak : " Senimanku.... "

" Senimanku…. "

Senimanku….
Bergetar suaranya,
Memukau, aku terbuai lena
Bagaikan berlarian di pantai,
Bercanda, bergurau senda denganmu
Kekasih, engkau tersenyum riang
Terasa indah duniaku!

Senimanku….
Merdunya nyanyian,
Terhibur aku sendirian, di kamar ini
Tersirna resah-gelisah,
Kepiluan yang menyelimuti diri,
Semalam yang berlalu,
Datang melambai, memberi salam!

Senimanku….
Masihku ingat bisikan mesra,
Kata-kata manja kekasih,
Berjanji dan bersetia,
Membina istana kasih bersama,
Bukan istana pasir di pantai,
Dipukul ombak, terlerai!

Senimanku….
Seputih pasir di pantai,
Senyaman bayu berhembus,
Pohon-pohon nyiur melambai,
Tenangnya jiwaku,
Kebahagian menyerap di kalbu,
Ingin selamanya, aku bersantai!

Senimanku….
Suaramu memecah rasa sepi,
Kesunyian malam, di kamar ini
Rindunya aku akan kekasih,
Perginya semakin jauh,
Takkan kembali,
Aku di sini, menanti!


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 8 September 2010.
Puisi No. 193
Hak Cipta Terpelihara.

Sajak : Penggesek biola.... " Bahagian 2

" Penggesek biola…." Bahagian 2

Penggesek biola….
Di pasar minggu, saban waktu
Di kaki lima, asyik dan leka
Menggesek biola,
Tak menghiraukan pengunjung
Pasar minggu, lalu-lalang
Mengalunkan lagu dan irama!

Penggesek biola….
Rambutnya memutih,
Menemani usia yang lanjut,
Kudrat tak seberapa, fizikal tak sihat
Kakinya sakit, jalan bertongkat
Di pasar minggu, mencari rezeki
Menyara anak dan isteri!

Penggesek biola….
Mengharapkan ikhsan, simpati
Pengunjung pasar minggu,
Menghulurkan wang, sebagai bakti
Digesekkan lagu, pelbagai irama
Bisikan kalbu, suara hati
Insan yang punya apa-apa!

Penggesek biola….
Banyak mata yang melihat,
Tersentuh jiwa dan kalbu,
Insaf dan bersimpati,
Tak lokek menghulurkan bantuan,
Biarpun saban minggu, ia disitu
Terpesona, merdunya gesekan biola!

Penggesek biola….
Aku, seorang pengembara
Masih berdiri di sini sejak tadi,
Ada rasa rindu, gelora di jiwa
Inikah nasib seorang insan seni,
Terbiar tak diambil peduli,
Di sebuah negara yang merdeka!


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 7 September 2010.
Puisi No.192
Hak Cipta Terpelihara.

Monday, September 6, 2010

Sajak : " Masihkah terluka.... "

" Masihkah terluka…. "

Masihkah terluka….
Menyimpan rasa dendam di hati,
Atau kerana parut masih ada,
Luka tak berdarah,
Namun sakitnya terasa, 
Ngilunya parah,
Membakar jiwa!

Masihkah terluka….
Membakar, marak menyala
Bilakah akan padam,
Tersirna suatu dendam,
Atau menunggu musim luruh,
Bertaburan gugurnya salji,
Ketika diselimut sepi!

Masihkah terluka….
Tiada lagi kata-kata kemaafan,
Memberi dan menerima,
Terlanjur sesuatu perbuatan,
Atau terlepas, terucap kata-kata
Sakitnya menusuk kalbu,
Seribu tahun menanggung malu!

Masihkah terluka….
Membawa, memikul beban duka
Sepanjang masa dan waktu,
Menanggung resah,
Mengalirkan air mata sengsara,
Kehidupan yang tidak menentu,
Sukar dan payah!

Bangun, bangkit semula….
Tabah dan berani.
Menapak dan berlari,
Kerana hidup adalah perjuangan,
Setiap ketika perjuangkan,
Peganglah erat, obor kepercayaan
Yakin, mencapai kejayaan!


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 6 September 2010.
Puisi No.191

Sunday, September 5, 2010

Sajak : " Lebaran.... "

" Lebaran…. "

Lebaran….
Terasa pilu dan sepi,
Tanpamu di sisi,
Anginpun malu singgah,
Mengelus pipi, mengusap kalbu
Seperti heningnya, subuh ketika pagi
Aku tak terdaya, hilangkan rasa rindu!

Lebaran….
Tak terdengar lagi bisikkan suaramu,
Tak kelihatan lagi senyuman manismu,
Aku, kehilangan dakapan mesra
Kasihnya seorang ibu,
Sayangnya seorang bapa,
Kembalinya untuk selamanya!

Lebaran….
Bagai kehilangan segalanya,
Tak terjamah ketupat, lemang
Tak termakan lodeh, rendang
Kuih-muih, sup dan laksa
Soto , nasi himpit, nasi dagang
Aku kehilangan selera!

Lebaran….
Ku mohon restuMu , Ya Illahi
Ampuni dosa, kedua ibu bapaku
Tempatkan mereka di jannah,
Syurga Firdausi,
Rahmati keduanya, Ya Allah
Kasihi keduanya, Ya Rabbi!

Lebaran….
Cinta dan kasih sayangku,
Muslimin dan Muslimah,
Semoga riang-ria,
Bahagia selalu saudara-saudaraku
Di rahmati, diberkati Allah jua
Mendapat perlindunganNya sentiasa!


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 6 September 2010.
Puisi No.190

Saturday, September 4, 2010

Sajak : " Laut Merah.... "

" Laut Merah….."

Laut Merah….
Memisahkan dua benua,
Tanah Arab dan Afrika,
Laut yang bersejarah,
Laut yang terbelah,
Menjadi laluan pejuang Islam,
Terselamat dari buruan Firaun!

Laut Merah….
Tak siapa menyangka,
Laut yang membiru, luas
Saujana mata memandang,
Terbelah menjadi daratan,
Itulah kuasa Ya Rabbi, Illahi
Musuh binasa, terkapar kelemasan!

Laut Merah….
Menyaksikan keangkuhan,
Kekejaman, kekufuran
Menganggap diri sebagai tuhan,
Bersultan di mata,
Beraja di hati,
Terkubur, mati!

Laut Merah….
Suatu peringatan saudaraku,
Suatu peringatan diriku,
Mengambil iktibar akan sejarah,
Marahnya Ya Rabbi,
Teramat parah,
Mohon keampunanMu, Ya Allah!

Laut Merah….
Begitu tenang dan damai,
Lautanmu luas membiru,
Bisikan ombak memukul pantai,
Percikkan airmu terpancar, memutih
Syahdunya aku, akan sejarahmu
Lautan terbelah, tautan kasih!


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 5 September 2010.
Puisi No.189

Sajak : " Tak jemu melihat.... "

" Tak jemu melihat…. "

Tak jemu melihat….
Engkau datang dan melangkah,
Mengukir senyuman,
Bertanyakan apa khabar,
Ikhlasnya wajah,
Bak bunga kembang mekar,
Harum di taman!

Tak jemu melihat….
Wajah yang kusayang,
Datang mengunjung,
Hadir bertandang,
Genggaman tangannya, padu erat
Pertanda keakraban,
Kasih, tiada penghujung!

Tak jemu melihat….
Cantiknya alam, terukir indah
Ketika subuh hening, sunyi dan sepi
Ada kedamaian di jiwa,
Hilanglah rasa gundah,
Resah gelisah di hati,
Inginku disampingMu selalu!

Tak jemu melihat….
Unggas-unggas berterbangan,
Bebas lepas di angkasa,
Bagaikan tiada duka sengsara,
Ada rasa cemburu dan iri hati,
Bilakah akan berakhirnya kerinduan,
Keamanan, bukan lagi suatu ilusi !

Tak jemu melihat….
Kekasih, masih setia menunggu
Sabar menanti dan tabah,
Jiwamu kukuh, padu, tak ampuh
Akan kupimpin tanganmu,
Kita menapak, mencapai cita-cita
Ada cahaya menggamit manja !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 4 September 2010.
Puisi No.188