Tuesday, August 31, 2010

Sajak : " Dalam diam ada rindu.... "

" Dalam diam ada rindu…. "

Dalam diam ada rindu….
Tersemai di hati,
Mengayam rasa kasih,
Biar jauh beribu batu,
Sesekali datang bertandang,
Bertemu dan bercanda,
Hatiku, gembira riang !

Dalam diam ada rindu….
Membisik di kalbu,
Tak dapat disembunyikan,
Atau berpura-pura,
Datangnya secara tiba-tiba,
Berteriak dan menggoda,
Kekasih, ingin aku mendekatimu !

Dalam diam ada rindu….
Mekar dalam kenangan,
Suka-duka diharungi bersama,
Jatuh, kita bangun semula,
Ke gunung sama didaki,
Ke lurah sama dituruni,
Kasih dan sayangku, terikat padu !

Dalam diam ada rindu….
Mengusap manja dan mesra,
Terleka dan diripun seperti dibuai,
Rentak lagu semalam,
Sebuah tarian duka penuh syahdu,
Bulan yang gerhana, 
Malam yang semakin kelam!

Dalam diam ada rindu….
Riangnya mengalun, berlagu
Mengukir senyuman, kemesraan
Aku pun ingin menapak bersama,
Melupuskan kehampaan,
Melakarkan keriangan,
Mengecap kebahagian seperti dahulu !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 31 Ogos 2010.
Puisi No.187

Thursday, August 26, 2010

Sajak: " Anak-anak Gaza.... "

" Anak-anak Gaza…. "

Anak-anak Gaza….
Laparnya tak terkata,
Makanan pengalas perut tiada,
Anak-anak kecil mundar-mandir
Tanpa sepatu, mengalas kaki
Mencari, mengutip sisa makanan
Untuk dimakan !

Anak-anak Gaza….
Tidak mengerti erti penindasan,
Kekejaman, kezaliman
Kerana lumrah, biasa,
Dilalui setiap hari,
Hidup ataupun mati,
Tak menakutkan lagi !

Anak-anak Gaza….
Tanpa ibu, ayah di sisi
Negaranya Palestin dijajahi,
Pelajaran tak ketentuan,
Tentunya buta huruf,
Masih tak lupa akanMu, Ya Rabbi
Belajar solat, mengaji !

Anak-anak Gaza….
Apakah erti sebuah kemewahan,
Tak pernah menikmati,
Tak pernah dimimpikan,
Tinggal di khemah pelarian,
Tinggal di bangunan runtuhan,
Daif tak terperi, siapa ambil peduli !

Anak-anak Gaza….
Di bulan Ramadhan,
Tabah hati menempuh dugaan,
Tak siapa kisah, ambil peduli
Makanan dan minuman,
Pakaian dan penginapan,
Adakah atau hanya suatu mimpi !

Anak-anak Gaza….
Inilah gara-gara sejarah,
Peperangan yang berlanjutan,
Kebencian sepanjang zaman,
Zionis, dendammu tiada noktah
Punah, ranah, Muslimin dan Muslimah
Tekad di hati, sampai mati !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
Esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 26 Ogos 2010
Puisi No.186

Monday, August 23, 2010

Sajak : " Anakku OKU.... "

" Anakku OKU…. "

Anakku disleksia….
Sukarnya mengenal huruf,
Membaca dan mengeja,
Merangkak-rangkak menyebut,
Membina ayat apatah lagi,
Tiada konfiden, keyakinan diri
Mengeluh sendiri !

Anakku diskalkulia….
Sukarnya mahu mengira,
" Dua tambah dua berapa?"
"Senanglah cikgu…"
"Berapa….?"
"Tiga, cikgu…"
Yakinnya jawapan, begitu spontan !

Anakku sindrom down….
Senyumnya menawan,
Hatiku terpikat, tertawan
Akan kuajar setakat termampu,
Berdikari, mengurus diri
Boleh membaca, mengira
Intan permata, ayah dan bonda !

Anakku Oku….
Dikatakan lembab, terencat akal
Berfikiran tak waras,
Spastik, sukarnya bergerak berjalan
Berkerusi roda, perlukan bantuan
Sabar dan tabah, anakku sayang
Dugaan Ya Rabbi, tak perlu kesal !

Anakku OKU….
Matamu tak melihat dunia,
Malam siang, sama sahaja
Sukarnya, bergerak melangkah
Tak perlu rasa malu, ragu
Allah, Maha Pengasih, Penyayang
KepadaNya mohon restu dan pasrah !

Anakku OKU….
Hidup ini perjuangan,
Jangan dikesal nasib menimpa,
Panggillah " ayah…",
Panggillah " ibu…. ",
Jangan mudah menyerah kalah,
Suaramu tentu, bak buluh perindu !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 23 Ogos 2010
Puisi No.185

Sunday, August 22, 2010

Sajak : " Mengapa.... "

" Mengapa…. "

Mengapa….
Dibunuh kejam saudaraku,
Zalimnya perilaku,
Kerana Islamkah agamanya,
Kerana Islamkah pegangannya,
Hidup tersiksa, dianiaya
Mengapa !

Mengapa….
Dibunuh kejam saudaraku,
Bagaikankan haiwan diperlakukan,
Tindakan, penindasan
Diperlakukan sesuka hati,
Ditembak mati anak, isteri, suami
Perlakuan berulangkali !

Mengapa….
Dibunuh kejam saudaraku,
Hatta di masjid, rumah beribadat
Wewenangnya tindakan,
Wewenangnya perlakuan,
Tanpa ada belas kasihan di hati,
Saudaraku diperlakukan sebegitu !

Mengapa….
Dibunuh kejam saudaraku,
Kerana berlainan pegangan agama,
Kerana Allah jua yang kami sembah,
Atau kerana ego dan sombong,
Membunuh sesama makhluk Illahi,
Dendam kesumat menguasai diri !

Mengapa….
Dibunuh kejam saudaraku,
Muslimin, muslimah diancam peluru
Hidup khuatir dan bimbang,
Anak, suami, isteri, bapa
Insan tersayang tak pulang-pulang,
Disiksa, menanggung derita !

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Limpah kurniaanMu ku pohon,
Lindungi saudaraku,
Muslimin dan Muslimah,
PadaMu jua kami berserah,
Ampunilah, lindungilah mereka
Tabah menghadapi musuhMu, Ya Allah !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 22 Ogos 2010.
Puisi No. 184

Saturday, August 21, 2010

Sajak : " Tangisan terakhir.... "

" Tangisan terakhir…. "

Tangisan terakhir….
Seperti terpisahnya bunga
Dipetik dari tangkainya,
Sakitnya terasa amat,
Luka yang parah,
Tak berdarah,
Merentap jiwa !

Tangisan terakhir….
Manifestasi sebuah cinta
Terguris, terluka
Kasih sayang sesama insan,
Tak kesampaian,
Sebuah melodi rindu,
Menusuk kalbu !

Tangisan terakhir….
Tiada lagi kata-kata indah,
Bisikkan puisi dan seloka,
Seperti angin berlalu,
Hadirnya seketika,
Mengelus mukaku,
Menambah derita !

Tangisan terakhir….
Sejernih, tenang air di kali
Menitis, mengalir membasahi pipi
Sedu-sedan, pilunya kalbu
Bagai kaca terhempas ke batu,
Akan kucari sinar mentari,
Terang bercahaya, menerangi maya !

Tangisan terakhir….
Kanvas ini menjadi saksi, kata hati
Kupadamkan sebuah sketsa,
Kuhapuskan sebuah memori,
Kucoretkan warna putih, bersih
Warna merah, gagah melangkah
Tak ingin lagi bersedih !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 22 Ogos 2010
Puisi No. 183

Sajak : " Kucuba menghampiri.... "

" Kucuba menghampiri…. "

Kucuba menghampiri….
Mendekati, mengenali dirimu
Tak terdaya, tak termampu
Aku bergerak, kau melangkah
Aku mengejar, kau berlari
Bagaikan suatu ilusi,
Bayang-bayang sendiri !

Kucuba menghampiri….
Menyayangi, membelai manjamu
Persis nya seorang kekasih,
Tapi jinaknya seperti merpati,
Siksanya aku menunggu, menanti
Diri dibeban rasa rindu,
Keluh-kesah di hati !

Kucuba menghampiri….
Hilangkan resah-gelisah, rasa rindu
Tidak mahu lagi diulit mimpi,
Atau bertepuk sebelah tangan,
Kelak diriku kecewa dan hampa
Tidak ceria, senyum gembira
Asyik diselimuti angan-angan !

Kucuba menghampiri….
Mendakap erat kasih dan sayang
Ingin menggapai angan-angan,
Kekasih, kupujuk dirimu
Hati terpikat, jiwaku merindu
Bagaikan pungguk rindukan bulan,
Berlagu hiba, di pohon tinggi !

Kucuba menghampiri….
Bersamamu kekasih,
Tanpamu di sisiku, di sini
Bagaikan tiada sinar, tak bercahaya
Seperti mentari menghampiri senja,
Langit semakin pudar dan kelam,
Diri kesunyian di rimba malam !


Dicipta oleh :

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 21 Ogos 2010.
Puisi No.182

Sajak : " Sensitiviti.... "

" Sensitiviti…. "

Sensitiviti….
Kadang-kala kita menjadi pelupa,
Kehadirannya, tanpa dipinta
Kerana terleka tutur-kata,
Reaksi dan perilaku,
Bagaikan terlupa diri,
Mengundang keaiban, rasa malu !

Sensitiviti….
Dalam tatasusila peradaban,
Pergaulan, persahabatan
Sosialisasi, interaksi
Pentingnya amat, dirasakan
Perlu ada rasa hormat menghormati,
Tidak mementingkan diri sendiri !

Sensitiviti….
Kita jaga sebaik mungkin,
Bagaikan emas dan permata,
Tinggi nilainya,
Mengundang rasa kasih,
Mengundang kemesraan,
Menjalin ikatan perpaduan !

Sensitiviti….
Perlu kita pupuk, semai
Sebatikannya dalam jiwa, minda
Kelak, hati dan jiwa
Tak resah bimbang, walang
Hidup bahagia, tenteram,aman damai
Gemilang dan cemerlang !

Sensitiviti….
Jangan kita, lupa terleka
Hadirnya dalam diri, makhluk Illahi
Bagaikan duri dan onak,
Sembilu menyusuk kaki,
Kelak dianpun terpadam, tak bercahaya
Mataharipun malu, terbit pagi !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 19 Ogos 2010.
Puisi No. 181

Tuesday, August 17, 2010

" Jika kita bertemu lagi…. " Bahagian 2

Jika kita bertemu lagi….
Alangkah riangnya hatiku,
Bertemu bagaikan saudara,
Terpisah lama,
Terubat rasa rindu,
Adik dan abang,
Kasih dan sayang !

Jika kita bertemu lagi….
Kita kukuhkan silaturrahim,
Eratkan persaudaraan,
Buang yang keroh,
Ambil yang jernih,
Sama-sama menyusun jari,
Maaf bermaafan !

Jika kita bertemu lagi….
Janganlah diam membisu,
Bersikap pura-pura,
Tidak mengenali, tidak tahu
Atau cuba melarikan diri,
Tabah dan tenanglah hadapi sengkita,
Hidup di dunia, sementara jua !

Jika kita bertemu lagi….
Lupakanlah kisah lama,
Peristiwa silam,
Bersama kita bermesra, bercanda
Bagaikan bersaudara,
Bagaikan sebuah keluarga,
Hormat menghormati !

Jika kita bertemu lagi….
Alhamdulillah, Ya Rabbana
Bersyukur akan limpah kurniaanNya,
Pada kedewasaan usia ini,
Bagaikan dedaun kering,
Membilang waktu dan hari,
Di perhentian sementara !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 17 Ogos 2010.
Puisi No. 180

Sajak : " Ramadhan.... "

" Ramadhan…. "

Ramadhan….
Bulan yang mulia,
Membimbing, memimpinku
Mencari cahaya,
Patuhi perintah Illahi,
Rukun Islam ketiga,
Bertakwa kepadaNya, Ya Rabbi !

Ramadhan….
Bulan yang mulia,
Mengajarku erti keinsafan,
Mendidikku erti kesusahan,
Belas kasihan sesama insan,
Tidak sombong dan angkuh,
Mementingkan diri sendiri !

Ramadhan….
Bulan yang mulia,
Mengasuhku kesabaran,
Tenang hadapi keadaan,
Suka dan duka ,
Dugaan Rabbana, Ya Rabbi
Harus tempohi, bijak bistari !

Ramadhan….
Bulan yang mulia,
Banyak dugaan, pancaroba
Jauhi, hindari maksiat
Mata, telinga, mulut, semua anggota
Tutupi aurat, jaga pergaulan
Awasi bicara, tutur dan kata !

Ramadhan….
Bulan yang mulia,
Rindunya menanti kehadiranmu,
Menyemai rasa kasih dan takwa,
Akanku sebut selalu namaMu,
Bertasbih, bertahmid dan bertahlil
Membasahi bibirku !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 17 Ogos 2010.
Puisi No. 179

Monday, August 16, 2010

Sajak : " Rahmat.... "

" Rahmat…. "

Rahmat….
KurniaanMu Illahi,
Indahnya menawan kalbu,
Menusuk jiwa;
Bersyukurku akan Rabbani,
Bersinar , bercahaya
PetunjukMu ke alam bahagia !

Rahmat….
KurniaanMu Illahi,
Bagaikan batu permata,
Dipandang mulia;
Bersikap lalai atau terleka,
Angkuh dan sombong,
Dimurkai Allah, hidupku murung !

Rahmat….
KurniaanMu Illahi,
Sesejuk salju terasa,
Bersihnya seputih kapas;
Hati dan jiwaku tenang,
PemberianMu , Yang Terpuji
Kekal abadilah sentiasa !

Rahmat….
KurniaanMu Illahi,
Inginku kasihi,
Membelainya dan mendakap mesra;
Akan kukucup selalu,
Menghilangkan dahaga,
Memupuk rindu !

Rahmat….
KurniaanMu Illahi,
Hadirlah selalu disisiku,
Ketika suka dan duka;
Peringatanku akan kasihMu, Ya Rabbi
Tidak aku terumbang-ambing,
Bagaikan malam, gelap-gelita !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 16 Ogos 2010.
Puisi No.178

Saturday, August 14, 2010

Sajak : " Tak perlu resah.... "

"Tak perlu resah…. "

Tak perlu resah….
Gelisah yang memanjang,
Ia adalah dugaan,
Suatu ujian,
Bersyukur akan nikmat Illahi,
Ataupun lupa terleka,
Diulit mimpi indah seketika !

Tak perlu resah….
Rasa kecewa dan hampa,
Berputus asa,
Kelopak matamu merah,
Mengalirkan air mata,
Sakit itu adalah musibah,
Sayang Ya Rabbi, akan hambaNya !

Tak perlu resah….
Berputus harap dan tak bermaya,
Musibah itu suatu peringatan,
Ada sinar dan cahaya,
Di hujung kegelapan,
Bertakwalah diri, bersikap tabah
Hadapi ujian Ya Rabbi, Ya Allah !

Tak perlu resah….
Tenanglah diri ini selalu,
Mama, sebutlah namaNya setiap waktu
Papa, jua harus begitu
Tanda kasih dan bersyukur,
Tidak leka, lalai dan kufur
Deritanya kelak amat dan parah !

Tak perlu resah….
Hati disalut ragu dan bimbang,
Ketika rebah, patah dan tumbang
Berjalan, menapak gagah
Susah atau senang,
Tidak berputus harap, menyerah kalah
KepadaMu jua kami berserah !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 15 Ogos 2010.
Puisi No. 177

Thursday, August 12, 2010

Sajak : " Terbang bebas.... "

" Terbang bebas…. "

Terbang bebas….
Bagaikan burung,
Di angkasa,
Diri tak lagi terkurung,
Tak murung,
Bebas hinggap ke mana jua,
Aku suka !

Terbang bebas….
Bagaikan burung,
Mencapai awan,
Diri tak lagi rawan,
Ke sana, kemari suka hati
Riangnya disinar cahaya mentari,
Hidup berdikari !

Terbang bebas….
Bagaikan burung,
Bermain di pantai,
Melihat ombak berlarian,
Berseloka di sini, riang bersantai
Kekasih, berlagu-berdendang
Hatinya senang !

Terbang bebas….
Bagaikan burung,
Di musim bunga,
Indahnya alam dan panorama,
Bunga-bunga kembang mekar,
Kumbangpun hinggap mencari madu,
Ku rasai damai, terubat rindu !

Terbang bebas,
Bagaikan burung,
Di musim luruh,
Jiwaku tenteram, tak mengeluh
Syukur aku ke hadrat Illahi,
Jalanku indah, cantik tersuluh
Limpah kurniaanMu, Ya Rabbi !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 12 Ogos 2010
Puisi No.176

Sajak: " Kekasih, inginku berkata.... "

" Kekasih, inginku berkata…. "

Kekasih, inginku berkata….
Ingatan untukmu,
Peringatan diriku,
Ketika bercinta, begini
Mudah lupa dan terpedaya,
Lekanya mengasyikkan,
Rindunya, membara sakan !

Kekasih, inginku berkata….
Belaian manjamu.
Renungan, lirikkan matamu
Gurauan senda dan hilai ketawa,
Bagaikan padang permainan, melekakan
Kitapun jatuh dan gugur,
Dilingkari kemungkaran !

Kekasih, inginku berkata….
Kita jauhi kenikmatan,
Sifatnya adalah sementara cuma,
Kelak, kesalnya berpanjangan
Ia adalah nafsu dan godaan,
Suatu ujian,
Ya Allah, Ya Rabbi !

Kekasih, inginku berkata….
Masih ada jalan kembali,
Janji yang Esa, itu pasti
Kematian itu hakiki,
Kebangkitan semula, hari bicara
Salah-silap dipersoalkan,
Kemana nak lari, sembunyikan diri !

Kekasih, inginku berkata….
Jangan lalai-leka, perintah Illahi
Jauhi maksiat, hindari kemungkaran
Tutupilah auratmu,
Jaga tutur kata, berbudi-bahasa
Bersopan-santun, tepati janji
Dirahmati Allah, mulia selalu !

Kekasih, bersama memohon….
Menadah tangan, kita berdoa
Keredhaan, keampunan Illahi
Bahagia, sejahteralah kita
DisayangiNya, tidak dibenci
Rahmati kami, Ya Allah !
Lindungi kami, Ya Allah !


Dicipta oleh:

Sjamsuri Hj.Abd.Razak
esdije@ymail.com
http://mekarnyabunga.blogspot.com
Tarikh: 11 Ogos 2010
Puisi No. 175